KUCHING: Kerajaan Sarawak bakal mewujudkan pangkalan data lengkap mengenai kepelbagaian biodiversiti di negeri ini bagi mengukuhkan pemuliharaan dan penerokaan sumber biodiversiti secara lestari.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, usaha ini akan dilaksana Sarawak Information Systems (SAINS) dengan matlamat mengumpulkan serta menyelaraskan data biodiversiti.
Katanya, beliau telah meminta Pengerusi SAINS, Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam meneliti kemungkinan menyatukan semua data biodiversiti planet di bawah satu pangkalan data.
“Ini kerana kita merupakan pusat biodiversiti dunia, terutamanya hutan hujan tropika dan akan menyatukannya menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI),” katanya Majlis Makan Malam Sambutan Tahun Baharu Cina 2025 Sarawak Multimedia Authority (SMA) di sini, malam tadi.
Abang Johari menambah, pangkalan data ini juga menjadi sumber yang boleh diakses oleh pihak luar namun akses tersebut tidak akan diberikan percuma.
“Apabila dimuat turun, ia tidak percuma. Ini bermakna, jika berbilion orang di seluruh dunia mengaksesnya, kita juga perlu mendaftarkan paten serta hak ke atas sumber biodiversiti kita,” jelasnya.
Hadir sama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Ahli Lembaga Pengarah SMA Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, Pengurus Besar SMA Dato Dr Anderson Tiong Ing Heng serta tetamu jemputan lain.
