KUCHING: Kerajaan Persekutuan meluluskan RM30 juta bagi menaik taraf lapangan terbang landasan pendek (STOLport) Long Banga dan Ba’kelalan di Sarawak.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Hasbi Habibollah berkata, masing-masing RM15 juta diperuntukkan kepada kedua-dua STOLport berkenaan di bawah Dana Pembangunan Lapangan Terbang.
“Kita meluluskan RM30 juta untuk Ba’kelalan dengan Long Banga.
“RM15 juta untuk STOLport Long Banga dan RM15 juta untuk STOLport Ba’kelalan,” katanya ketika ditemui media selepas Program Pembaharuan Teksi MADANI Nasional di Kompleks UNIFOR, di sini, hari ini.
Peruntukan itu meliputi kerja menaik taraf terminal serta pemanjangan landasan, tertakluk kepada keadaan dan kesesuaian tapak.
“Kalau sekiranya landasan dapat dipanjangkan, kita boleh membawa lebih banyak penumpang.
“Sekarang ini Twin Otter hanya boleh membawa sembilan orang disebabkan landasan tidak cukup panjang,” tambahnya.
Menurutnya, projek berkenaan kini di peringkat reka bentuk dan kerja awal dijangka dimulakan tahun ini.
