Bangun rumah mampu milik antara agenda pembangunan Samariang – Sharifah Hasidah

KUCHING: Kerajaan Sarawak merancang membangunkan rumah mampu milik melalui Skim Pembesaran Kampung di kawasan Samariang di sini.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Kerajaan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, penyediaan rumah mampu milik khususnya untuk golongan muda dan golongan sasar adalah antara perkara yang perlu diberi keutamaan dalam merancang program pembangunan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang.

Fasa pertama akan dilaksanakan di Kampung Semariang Batu yang mana kawasan tersebut telah dikenal pasti dan diluluskan, katanya ketika ditemui Jiwa Bakti di sini, baru-baru ini.

Sharifah Hasidah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang berkata, sehubungan itu beliau berharap majlis pecah tanah bagi projek perumahan itu dapat dilaksanakan secepat mungkin.

Beliau berkata, untuk perancangan lebih besar di Samariang adalah mengubah landskap pembangunan fizikal di kampung-kampung sekitar seperti Kampung Semariang Batu, Semariang Lama dan Semariang Pinggir.

Katanya, perubahan pembangunan itu penting supaya kawasan tersebut dapat dibangunkan dengan lebih moden dan teratur.

Namun, pembangunan fizikal berskala besar memerlukan masa dan melibatkan perancangan, mengenal pasti tapak yang sesuai, mendapatkan dana dan melaksanakan projek, katanya.

“Kita perlu memahami bahawa sesuatu projek pembangunan tidak boleh berlaku dalam masa sehari.

“Sebagai contoh, projek jambatan memerlukan tempoh bertahun-tahun daripada peringkat perancangan sehingga siap.

“Yang penting, pembangunan akan terus dilaksanakan secara berperingkat dan memberi manfaat kepada rakyat,” tambahnya.

Selain membangunkan rumah mampu milik, beliau turut memberi perhatian kepada isu kesesakan lalu lintas, keselamatan kampung, lampu jalan serta kemudahan rekreasi, sukan dan komuniti.

Bagi kawasan bandar dan separa bandar seperti Semariang, kemudahan rekreasi dan sukan amat penting untuk menggalakkan gaya hidup sihat, katanya.