Pelancongan berasaskan tenaga hijau wujudkan bandar raya bersih

KUCHING: Program ‘Borneo Green Bike Tour’ yang menggunakan motosikal berasaskan elektrik menjadi pemangkin kepada industri pelancongan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, program itu yang dijalankan Syarikat Smart Leisure & Travel Sdn Bhd ini bagi mempromosikan penggunaan motosikal elektrik dalam industri pelancongan dan tenaga hijau.

“Ini bagi memastikan alam sekitar dijaga dengan baik serta warisan sejarah terpelihara bertujuan melindungi alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Program ‘Borneo Green Bike Tour’ di Old Courthouse, di sini hari.

Abdul Karim serta Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak Sharzede Datu Salleh Askor juga bermotosikal elektrik sebagai tanda sokongan dan keprihatinan untuk memastikan persekitaran bersih.

Rombongan itu mengelilingi sekitar bandar raya ini iaitu di Gereja St Peter, Jambatan Darul Hana, Bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak serta kawasan pelancongan lain sebelum mengakhiri perjalanan mereka di Muzium Budaya Borneo.

Turut hadir, Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Dato Hilmy Othman. -EDISI UKAS