DARO: Program Mission Excellence atau X-Mission 2.0 platform persediaan dan pendedahan kepada murid Tahun Enam untuk menghadapi Ujian Penilaian Program Dwibahasa (DLP).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad berkata, program berkenaan memfokus bengkel dan latihan bagi meningkatkan tahap kesediaan murid, terutama di sekolah kawasan pesisir dan luar bandar.
Menurutnya, sejak dilaksanakan empat tahun lalu, program berkenaan menunjukkan perkembangan positif dan membantu meningkatkan prestasi murid, khususnya subjek Bahasa Inggeris dan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Alhamdulillah, sejak program ini dilaksanakan empat tahun lalu, kita melihat kemajuan dan ini diakui membantu meningkatkan prestasi anak-anak, khususnya Bahasa Inggeris dan STEM,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Penutupan Program Mission Excellence (X-Mission) 2.0:Ujian Penilaian DLP Tahun 6 dan Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangan Kembali Ke Sekolah PEKEMA Sarawak.
Katanya, X-Mission 2.0 melibatkan enam sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sebenak, SK Semak, SK Batang Lasak, SK Pasin, SK Sawai dan SK Kampung Penasu.
Dalam pada itu, sebanyak 500 beg sekolah disumbangkan menerusi program kembali ke sekolah hasil kerjasama dengan Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) Sarawak untuk diagihkan kepada murid enam sekolah berkenaan.
Pada majlis sama, Dr Safiee turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM24,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kampung Penasu, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Penasu, Panel Penasihat Klinik Kesihatan Nanga Semah dan PIBG SK Kampung Sawai.
