Budaya saling percaya, integriti perjuangan perkasakan Parti PBB

KUCHING: Yang di-Pertua parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengajak ahli-ahli parti supaya mengamalkan budaya saling mempercayai dan berintegriti dalam meneruskan perjuangan membangunkan negeri dan rakyat.

Beliau berkata, budaya saling mempercayai diamalkan oleh pemimpin terdahulu telah membolehkan Parti PBB bertahan dan utuh sehingga kini.

“Kita harus bersama-sama berjuang untuk Sarawak dengan Parti PBB sebagai wadah perjuangan dan Parti Gabungan Sarawak (GPS) wadah perpaduan,” katanya semasa merasmikan Perhimpunan Agung Ke-16 Parti PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Abang Johari yang juga Premier Sarawak menegaskan, dalam meneruskan perjuangan, ahli-ahli mesti mempunyai satu tekad iaitu perjuangan untuk membangunkan rakyat dan negeri.

Menurut beliau, perjuangan itu hendaklah menggunakan cara baharu dan jangan terikut-ikut dengan kehendak nafsu.

“Perjuangan kita mesti mempunyai hala tuju dan pelan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 dirangka untuk memcapai pembangunan seimbang dengan meghormati budaya antara satu sama lain,” katanya.

Beliau menegaskan, ahli-ahli Parti PBB juga harus bersedia untuk menangkis sebarang bentuk ancaman termasuk penggunaan Buatan Kecerdasan (AI) oleh pelbagai pihak untuk menjatuhkan pemimpin dan parti kerana dikuasai oleh nafsu.

“Untuk kepentingan politik dan kerana nafsu, pihak terbabit akan menggunakan pelbagai cara termasuk AI menjatuhkan orang lain. Ini perlu ahli-ahli parti tangani.
“Nafsu adalah musuh utama dalam politik. Kita dalam Parti PBB ada budaya dan berharap budaya konsesus antara PESAKA dan BUMIPUTERA dapat dipertahankan.

“Disebabkan budaya yang diamalkan dalam Parti PBB sejak 52 tahun lalu, rakyat menyaksikan peralihan kuasa antara pemimpin dengan licin,” katanya.

Perjuangan Parti PBB sekarang, tambahnya, adalah untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Dalam memperjuangkan MA63 itu, katanya, Parti PBB tidak keseorangan tetapi bekerjasama dengan SUPP, PRS dan PDP.

Hadir sama Presiden SUPP, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Presiden PRS, Datuk Joseph Salang, Presiden PDP, Dato Sri Tiong King Sing dan Ahli Majlis Tertinggi (MT) Parti PBB.