DEBAK: Projek pembinaan Kompleks Sukan Daerah Debak Fasa 2 dengan kos peruntukan sebanyak RM14 juta kini memasuki fasa pelaksanaan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata, skop projek merangkumi pembinaan astaka, pembesaran tapak kompleks sukan serta ubah suai struktur jalan.
“Projek ini merupakan bukti komitmen Kerajaan Sarawak dalam menyediakan kemudahan sukan yang berkualiti kepada masyarakat di Daerah Debak,” katanya.
Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas berkata demikian semasa mengadakan tinjauan bagi pemutihan skop projek pembinaan Kompleks Sukan Daerah Debak di sini.
Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Morshidi Fredrick dan Ketua Penolong Setiausaha Tetap, Seruji Ludin.