KUCHING: Status kemajuan Projek Lebuh raya Pan Borneo (LPB) Sarawak bagi Fasa Satu melibatkan sembilan pakej sepanjang 641 kilometer (km) telah siap sepenuhnya setakat Februari tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata, daripada keseluruhan 11 pakej, antara pakej yang telah siap termasuklah pakej WPC01 melibatkanTelok Melano ke Sematan sepanjang 33 km siap sepenuhnya pada 6 Januari 2021.
Selain itu, katanya pakej WPC03 melibatkan Serian ke Persimpangan Pantu sepanjang 75km siap sepenuhnya 26 Mei 2023.
“Pakej WPC05 melibatkan Persimpangan Batang Skrang ke Sungai Awik sepanjang 68km siap sepenuhnya 7 Oktober 2023 manakala pakej WPC04 melibatkan Persimpangan Pantu ke Batang Skrang sepanjang 89 km siap 31 Disember 2023.
“Sementara itu, pakej WPC07 melibatkan Persimpangan Bintangor ke Jambatan Sungai Kua sepanjang 76 km siap sepenuhnya pada 24 Januari 2024 ,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Dato Ahmad Ibrahim semasa sidang Dewan Negara berhubung peratusan kemajuan semasa pelaksanaan projek Fasa Satu LPB Sarawak setakat ini.
Dalam pada itu, katanya dua lagi pakej kerja iaitu WPC06 sepanjang 65 km dijadual dapat disiapkan pada suku kedua tahun ini manakala WPC11 sepanjang 80 km kecuali Seksyen Lambir di Miri dijangka siap secara berperingkat pada suku keempat tahun ini.
