Program Sumbangsih Raya diteruskan, hargai sumbangan anggota keselamatan

KUCHING: Program tahunan Sumbangsih Raya akan diteruskan tahun ini bagi menghargai sumbangan anggota keselamatan, beruniform dan penguatkuasaan yang bertugas semasa Aidilfitri.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah program anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak itu bermula sejak 2013 dengan jumlah penerimanya kian meningkat setiap tahun.

Jelas Fatimah, majlis penyampaian sumbangan akan disempurnakan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada 7 Mac ini.

“Program ini bermula sejak 2013 dengan hanya dua agensi penerima dan 5,000 kotak sumbangan. Namun, jumlah tersebut meningkat setiap tahun dengan 12,000 paket disediakan untuk 11 agensi pada 2024 dan 2025.

“Kerajaan Sarawak sentiasa komited meneruskan program ini sebagai tanda penghargaan kepada mereka yang bertugas pada pagi Aidilfitri,” katanya semasa sidang media di Majlis Pembungkusan Sumbangsih Raya 2025 (SR25) di Wisma Wanita, Petra Jaya, hari ini.

Fatimah berkata, kotak Sumbangsih Raya ini mungkin kecil, tetapi pengorbanan mereka jauh lebih besar dan tidak ternilai.

“Ini adalah tanda penghormatan dan penghargaan daripada kerajaan Sarawak kepada wira-wira kita,” tambahnya.

Selain penyampaian pada 7 Mac, lawatan ziarah ke beberapa lokasi juga akan diadakan pada 12 Mac untuk menyerahkan sumbangan secara langsung kepada penerima yang bertugas.

Antara penerima ialah Angkatan Tentera Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.