KUCHING: Bazar Ramadan ‘Rindok Raya 2025’ membantu vendor Bumiputera mempromosikan produk tempatan sekali gus menjana pendapatan pada musim perayaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Satok, Dato Ibrahim Baki berkata, lebih 80 gerai menawarkan pelbagai jenis makanan, minuman, pakaian dan barangan perayaan.
Dalam berniaga, beliau turut mengingatkan peniaga agar menjaga kebersihan dan kualiti makanan demi kebaikan bersama.
“Penubuhan bazar ini membantu peniaga Bumiputera khususnya pada bulan Ramadan ini menjana pendapatan.
“Oleh itu, kita mengharapkan peniaga ini mengekalkan kebersihan dan kualiti makanan dan minuman supaya pengunjung akan sentiasa datang,” tambahnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Bazar Ramadan ‘Rindok Raya’ di perkarangan Bangunan Hikmah Exchange, Satok, di sini, hari ini.
Permodalan Satok Berhad (PSB) dengan kerjasama Kuching Car Boot Sales Community melancarkan bazar tersebut yang julung kali diadakan.
Hadir sama Datuk Bandar Kuching Utara, Dato Hilmy Othman, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Dato Fazzrudin Abdul Rahman, Ahli Lembaga Pengarah PSB, Dato Sharwaki Ali serta Pengurusn Besar PSB, Hafisz Rachman Drahman.
Ibrahim berkata, matlamat bazar terbabit dianjurkan bagi menyediakan keselesaan kepada pengunjung membeli-belah.
