Sarawak lancar inisiatif pelancongan di ITB Berlin 2025

BERLIN: Sarawak melancarkan inisiatif pelancongan terbaharunya di ITB Berlin 2025, pameran perdagangan terkemuka untuk pelancongan global. 

Majlis berlangsung semalam (Rabu) dirasmikan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew dan disaksikan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia, Dato Sri Tiong King Sing, bersama pemimpin industri, pihak berkepentingan pelancongan dan media antarabangsa.

Dalam ucaptamanya, Sebastian mengalu-alukan penonton global ke pavilion Sarawak yang menonjolkan tawaran pelancongan unik negeri yang berpusat di sekitar budaya, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan perayaannya.

“Sarawak, yang dikenali sebagai Tanah Burung Enggang, menawarkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan iaitu Budaya, Pengembaraan, Alam Semula Jadi, Makanan, dan Perayaan bersatu untuk mencipta satu perjalanan yang tiada tandingannya,” katanya.

Beliau berkata, warisan budaya Sarawak yang rancak, berakar umbi dalam tradisi 34 kumpulan etnik asli, merupakan asas tarikan pelancongannya.

Jelasnya, kepelbagaian budaya negeri ini dihidupkan di Muzium Budaya Borneo, muzium terbesar di Malaysia dan kedua terbesar di Asia Tenggara, menawarkan pameran mengasyikkan yang meraikan seni, tradisi dan sejarah Borneo dan semua etnik.

Bagi mereka yang mencari pengembaraan tambahnya, Sarawak menawarkan banyak peluang untuk penerokaan.

Sarawak adalah rumah kepada Tapak Warisan Dunia UNESCO seperti Gunung Mulu dan Taman Negara Niah, memberi peluang kepada pelawat meneroka sistem gua yang menakjubkan, termasuk ruang gua terbesar di dunia dan sistem gua terpanjang di Asia Tenggara.

Ujarnya, Taman Negara Niah, yang terkenal dengan kepentingan arkeologinya, menawarkan gambaran sekilas tentang sejarah manusia dengan mayat manusia berusia 65,000 tahun.

“Landskap lasak Sarawak memberikan keadaan yang sangat baik untuk ekspedisi 4WD, berbasikal dan menyelam ke terumbu karang yang meriah dan bangkai kapal bersejarah.

“Sebagai destinasi eko-pelancongan, Sarawak adalah rumah kepada 67 Kawasan Terlindung Sepenuhnya,” katanya.

Sebagai Bandar Gastronomi Kreatif UNESCO pertama di Malaysia, Sarawak menawarkan budaya makanan yang kaya yang berakar umbi dalam tradisi Orang Asli dan amalan mampan.

Hidangan terkenal seperti Laksa Sarawak, yang digelar “The Breakfast of the Gods” oleh mendiang Anthony Bourdain, dan Kolo Mee, makanan warisan negara Malaysia, mempamerkan kehebatan masakan rantau ini.

Hidangan orang asli seperti Umai (ikan mentah diperap) dan Ayam Pansuh (ayam masak perlahan dalam buluh) mencerminkan kepelbagaian warisan masyarakat Sarawak.

Menurut Sebastian, sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Sarawak untuk mempamerkan tawaran pelancongannya, sebuah video telah didedahkan di ITB Berlin.