KUCHING: Sarawak Delta Geopark (SDGp) menganjurkan Bengkel Penilaian Kendiri di Hotel Waterfront, di sini mulai 4 hingga 6 Mac 2025.
Menurut kenyataan media SDGp, bengkel bagi memastikan semua kriteria ditetapkan Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dipenuhi ke arah pengiktirafan sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp).
Bengkel menghimpunkan agensi di bawah Tadbir Urus SDGp bersama penasihat SDGp bagi menilai status semasa SDGp dan mengenal pasti aspek yang perlu diperkukuh bagi memenuhi piawaian UNESCO.
“Antara perkara yang diberi tumpuan adalah aspek pemuliharaan geologi, kelestarian alam sekitar, pemerkasaan komuniti, pembangunan ekonomi lestari serta promosi dan pendidikan berkaitan taman geo,” menurut SDGp.
Pengarah Hutan Sarawak, Datu Hamden Mohammad, menekankan kepentingan penyelarasan berterusan antara semua pihak berkepentingan dalam memastikan kejayaan Sarawak Delta Geopark mencapai status global itu.
“Kejayaan memperoleh status UNESCO Global Geopark bukan sahaja akan meningkatkan profil Sarawak sebagai destinasi geopelancongan bertaraf dunia, tetapi juga memberikan manfaat ekonomi dan sosial kepada komuniti setempat,” menurut Hamden.
Katanya, ini melalui pemerkasaan pelancongan lestari serta program pembangunan komuniti.
“Dengan penganjuran bengkel ini, Sarawak Delta Geopark semakin hampir ke arah merealisasikan impian sebagai UNESCO Global Geopark yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” tambahnya.
Katanya, semua pihak digesa untuk terus memberikan sokongan dan komitmen dalam memastikan kejayaan ini demi manfaat jangka panjang kepada Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya.
