Terap nilai integriti dalam budaya kerja

KUCHING: Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Sarawak disaran menerapkan amalan integriti dalam budaya kerjanya.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian berkata, DID Sarawak telah menerima peruntukan tambahan daripada Kerajaan Sarawak bagi memulakan projek-projek pembangunan yang penting di seluruh wilayah ini.

Katanya, dengan bilangan kerja untuk DID semakin bertambah, bermakna peruntukannya akan meningkat saban tahun, menjadikan tanggungjawab mereka lebih besar memandangkan lebih banyak tender dan projek akan diserahkan dan dijalankan pada masa akan datang.

“Kepercayaan orang terhadap DID haruslah memuaskan yang mana memerlukan masa yang lama untuk dibina, namun boleh musnah hanya disebabkan beberapa individu yang tidak berintegriti.

“Ini meletakkan amalan integriti menjadi amalan harian kakitangan DID Sarawak kerana mereka dipertanggungjawabkan dengan peruntukan yang besar dan projek yang banyak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Sambutan Hari Integriti DID Sarawak 2025 di sini.

Beliau berkata, Kerajaan Sarawak mencapai pertambahan pendapatan luar biasa, sekali gus meningkatkan peruntukan pembangunan kepada agensi yang terlibat.

Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak itu menambah, Kerajaan Sarawak akan terus mengambil langkah proaktif dalam membanteras jenayah melibatkan integriti, di samping menyokong sepenuhnya program penerapan nilai ini terutamanya kepada penjawat awam Sarawak.

Beliau turut menyerah Sijil MS ISO 37001: 2016 ‘Anti-Bribery Management System (ABMS)’ daripada Pengarah Wilayah, SIRIM Berhad Sarawak Ts Shahrizan Mohammad Sahmoni kepada Pengarah DID Sarawak Datu Ir Ts Ahmad Denney Ahmad Fauzi.

Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan Awam dan Perumahan Sarawak Datuk Michael Tiang Ming Tee, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Dato Dr Juanda Jaya, Pengarah UNION Wan Mohamad Wan Drahman, Timbalan Pengarah Pencegahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Sarawak (SPRM) Wan Ahmad Nidzam Wan Omar.