RM9.04 bilion bagi projek JALB di Sarawak

KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) telah meluluskan sebanyak 98 projek program Jalan Luar Bandar (JALB) di Sarawak.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata, projek terbabit dengan kos keseluruhan berjumlah RM9.04 bilion.

“Daripada 98 projek tersebut, 11 projek melibatkan kerja-kerja menaik taraf bekas jalan balak di seluruh Sarawak dengan keseluruhan kos RM759 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Senator Michael Mujah Lihan berkaitan projek naik taraf jalan balak di Sarawak di Dewan Negara, di sini, semalam.

Rubiah berkata, kemajuan fizikal bagi Projek Menaik Taraf Jalan Balak ke Penempatan Semula Tegulang (Fasa 5) di Kapit, adalah 44.24 peratus dan dijangka siap Oktober 2025.

“Bagi Projek Menaik Taraf Jalan Balak ke Penempatan Semula Metalun (Fasa 6) juga di Kapit adalah 5.73 peratus dengan projek ini dijangka siap pada Mac 2027,” ujarnya.

Tambahnya lagi, agensi pelaksana bagi kedua-dua projek itu adalah Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKR).