Majlis Bersungkei Bersama UNIFOR, kukuh perpaduan kaum dan agama

KUCHING: Majlis Bersungkei Bersama Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berlangsung di Dewan Surau, Astana Negeri Sarawak pada malam tadi, menyerlahkan semangat perpaduan dan keharmonian antara pemimpin pelbagai agama dan kaum di Sarawak.

Ia turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, bersama isteri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, barisan pemimpin kerajaan, pegawai kanan perkhidmatan awam serta pemimpin agama-agama lain.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Pengarah Perkhidmatan Awam Sarawak Datu Dr Sabariah Putit, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak Hamdan Jar’ee, Pengarah Tabung Haji Sarawak Amat Kassim Pait dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan.

Kehadiran pemimpin dari pelbagai agama seperti Pengarah UNIFOR Dato Georgina Apphia Ngau, The Right Reverend Datuk Danald Jute, Archbishop Dato Dr. Simon Poh, Datuk Tay Chin Kin, Datin Dona Drury Wee, Dato Dr Kalwinder Singh Khaira serta Dato Shankar Ram Asnani menjadi simbol toleransi dan keharmonian di Sarawak.

Ia sekali gus menjadikan Sarawak sebagai contoh perpaduan di Malaysia.

Majlis dimulakan dengan solat Maghrib, diikuti berbuka puasa bersama tetamu UNIFOR, sebelum diteruskan dengan sesi ramah mesra dan bergambar, memberi peluang untuk memupuk semangat perpaduan serta memperkukuhkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Tun Dr Wan Junaidi bersama jemaah menunaikan solat Isyak dan tarawih di Surau Astana Negeri Sarawak.