KUCHING: Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti (SBST) BAS.MY Kuching memulakan operasi hari ini.
Perkhidmatan bas tersebut menawarkan tambang murah mesra pengguna meliputi 48 hentian bas.
Sebagai permulaan menurut Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin, enam bas akan bergerak di sepanjang laluan Q10 iaitu Open Air Market di sini ke Serian.
Menurutnya, jumlah perkhidmatan bas yang mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) akan ditingkatkan secara berfasa hingga mencapai 56 bas secara keseluruhannya menjelang April nanti.
“Mac ini, kita akan menyaksikan 20 lagi bas akan memulakan operasinya, manakala tambahan 26 lagi bas akan beroperasi pada akhir April.
“Pada masa ini m, kita akan mempunyai 56 bas moden yang dilengkapi h sistem kamera litar tertutup (CCTV), mesra OKU dan kadar tambang yang rendah di samping dilengkapi dengan Sistem Penentududukan Sejagat (GPS),” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa tinjauan operasi SBST BAS.MY Kuching di Open Air Market di sini, hari ini.
Lee berkata, bas tersebut menawarkan perkhidmatan percuma kepada pelajar, OKU dan warga emas yang berumur 60 tahun ke atas.
Mereka boleh memohon Kad Konsesi BAS.MY dengan pihak pengendali.
“Salah satu perkara yang paling penting yang saya fikirkan dalam menyampaikan perkhidmatan seumpama ini adalah ketepatan waktu dan kebolehpercayaan.
“Saya juga berharap syarikat bas ini termasuk pengendali, akan memastikan bas mereka beroperasi mengikut jadual dan sudah tentu, agensi penguatkuasa akan memeriksa, memastikan bahawa bas beroperasi mengikut jadual dan mengikut terma dan syarat SBST,” ujar beliau.
