Kaedah ukur status sesebuah negeri perlu dikaji semula

KUCHING: Kaedah diguna Kerajaan Persekutuan untuk mengukur status sesebuah negeri itu sama ada kaya mahupun miskin perlu dikaji semula, kata Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Katanya, kaedah penilaian sedia ada seperti E-Kasih masih terdapat kekurangan kerana terdapat segelintir penerima yang diragui status mereka dari segi pendapatan.

“E-Kasih dan ramai orang Sarawak mendaftar. Kalau seorang petani, seorang nelayan, tidak ada gaji tetap, walaupun ada pendapatan RM10,000 sebulan, dikategori miskin juga.

“Macam petani di kawasan saya (Dewan Undangan Negeri) Asajaya, ada yang mendapat pulangan lebih dari RM5,000 sebulan, lebih besar dari yang bergaji ada penyata bulanan, tapi masih dianggap miskin, mereka memohon bantuan pun dapat juga.

“Sebab itu, kita sering memaklumkan, kaedah pengukuran ini perlu diatur semula,” ujarnya.

Abdul Karim mengeluarkan kenyataan tersebut bagi mengulas kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang didakwa menegur enam negeri termiskin iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis agar tidak terlalu mengharapkan peruntukan Kerajaan Pusat.

Rafizi turut memaklumkan dalam Persidangan Parlimen bahawa enam negeri tersebut sudah menerima peruntukan jauh lebih tinggi berbanding negeri lain sejak tahun 2021.

Abdul Karim bagaimanapun menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana tetap menyalurkan peruntukan kepada Sarawak walaupun negeri ini sudah diiktaraf berpendapatan tinggi dan memiliki pelbagai sumber dana.

Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi PEMADAM Sarawak menyempurnakan simbolik perasmian Surau Ar Rahman di Pusat Pemulihan Narkotik (PUSPEN) cawangan Kuching di Puncak Borneo.