DARO: Kawasan tapak Bazar Ramadan Daro akan dinaik taraf bagi memastikan keselesaan
penjaja dan pengunjung.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata perancangan itu akan dilaksanakan tahun ini menggunakan peruntukan projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) beliau.
“Kerajaan sentiasa berusaha menyediakan kemudahan bagi membolehkan peniaga kecil mengambil peluang menambah pendapatan keluarga, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Bazar Ramadan Daro 2025, semalam.
Beliau turut menasihati peniaga supaya sentiasa menjaga kebersihan dan kualiti produk jualan, khususnya makanan dan minuman demi kepentingan bersama.
Sebanyak 94 gerai Bazar Ramadan Daro 2025 di bawah seliaan Majlis Daerah Matu Daro (MDMD), peningkatan mendadak berbanding tahun sebelumnya sebanyak 74 gerai.
Peniaga yang menyertai bazar kali ini ini terdiri daripada penduduk tempatan sekitar Daro, Matu, Pulau Bruit serta peniaga luar.
Setiap gerai dikenakan bayaran RM60 untuk sepanjang Ramadan, menjadikannya antara kadar paling minimum yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).
