149 individu terima Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak

KUCHING: Seramai 149 individu menerima Darjah-Darjah Kebesaran Negeri Sarawak dalam istiadat pengurniaan yang berlangsung di Astana Negeri Sarawak.

Istiadat berlangsung hari ini disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan turut dihadiri Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

Pengurniaan dimulakan dengan Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Pegawai Bintang Sarawak (P.B.S) kepada Dr. Hadi Ab Jalil.

Seterusnya, Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Pegawai Bintang Kenyalang (P.B.K) disampaikan kepada 13 individu, manakala Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Bakti (P.P.B) dikurniakan kepada 18 penerima.

Bagi Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Ahli Bintang Sarawak (A.B.S), seramai 10 individu menerima darjah berkenaan, diikuti Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak Ahli Bintang Kenyalang (A.B.K) yang dikurniakan kepada 25 penerima.

Dalam pada itu, Pingat Pentadbiran Awam Pingat Perkhidmatan Terpuji (P.P.T) dikurniakan kepada 38 individu, manakala Darjah Yang Amat Mulia Bintang Sarawak Bentara Bintang Sarawak (B.B.S) disampaikan kepada 44 penerima.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri, Datin Amar Baduyah Bujang, Timbalan Menteri Di Jabatan Premier Sarawak (Integriti & Ombudsman) Datuk Dr. Juanda Jaya bersama isteri, Datin Shanti Achmad Ramly, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu bersama isteri, Datin Rosemarie Wong serta Pengarah Mufti Sarawak Ahmad Sukarno Saini.