LAWAS: Seramai 200 asnaf berdaftar dengan Baitulmal menerima sumbangan khas dalam Program Ziarah Ramadan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) 1446H/2025.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, asnaf yang terpilih akan menerima sumbangan yang disalurkan melalui konsep wakalah.
“Dengan kaedah ini, LCDA sebagai wakil dalam pengagihan zakat, memastikan bantuan sampai kepada penerima yang layak dengan teratur dan sistematik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Ziarah Ramadan LCDA 1446H/2025 di sini, semalam.
Menurut Awang Tengah, inisiatif itu bukan sekadar menyantuni mereka yang memerlukan tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara agensi kerajaan dan masyarakat.
“Saya berharap program ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara kerajaan dan rakyat, serta menjadi bukti komitmen berterusan kita dalam membantu golongan kurang berkemampuan,” katanya.
