MWKS tubuh jawatankuasa bantu mangsa gangguan seksual

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWKK) menzahirkan rasa gembira atas peningkatan kesedaran tentang keganasan dan gangguan seksual di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

Menteri KPWKK, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, hasil peningkatan kesedaran itu, banyak laporan telah dibuat dan pelakunya didakwa.

Bagaimanapun, usaha memerangi jenayah terbabit baru bermula dan lebih banyak perlu dilakukan, katanya semasa mempengerusikan mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) di sini hari ini.

Menurut Fatimah, pendekatan holistik perlu dilaksanakan bagi menangani keganasan seksual di sekolah dan institusi pengajian tinggi.

“Saya turut gembira mengumumkan kewujudan jawatankuasa MWKS dengan tujuan membantu mangsa gangguan seksual dan keluarga mereka mengenai tindakan yang akan diambil selepas kejadian,” katanya.

Selain itu, tambahnya, jawatankuasa terbabit juga menyediakan sokongan dari segi undang-undang dan moral seperti kaunseling, merapatkan keluarga dengan agensi berkaitan dan latihan berterusan.

Anggota MWKS, katanya, terdiri daripada golongan pendidik, pengamal perubatan, ahli psikologi, peguam, pekerja sosial dan kaunselor.

“Kita bekerja rapat dengan Polis, Jabatan Pendidikan, universiti dan kolej. Khidmat MWKS bukan setakat melindungi kanak-kanak tetapi juga membantu golongan lain,” tegas beliau.