Generasi Y Melanau perlu sedia waris kepimpinan

KUCHING: Anak-anak muda atau generasi Y Melanau perlu bersedia menggalas cabaran menjadi pewaris pemimpin persatuan mahupun politik di Sarawak. 

Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak yang juga Penaung Persatuan Melanau Kuching, Datuk Len Talif Saleh berkata, ini termasuk menjadi pewaris pemimpin kepada Persatuan Melanau Kuching khususnya pada masa-masa akan datang. 

Katanya, ini kerana pemimpin yang ada pada hari ini tidak selamanya memegang jawatan di dalam persatuan mahupun politik di Sarawak. 

“Mereka akan mengundur diri bila tiba masanya, maka generasi baharu perlulah bersedia untuk menggalas cabaran ini,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Iftar Ramadan dan Solat Terawih 2025 di Wisma Melanau, di sini, malam tadi.