Projek MRP-PPRMS ceriakan Aidilfitri pada penduduk Daro

DARO: Projek Kecil Luar Bandar (MRP) – Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (MRP-PPRMS) fasa satu membawa keceriaan kepada penduduk di tiga kampung di sini.

Ia susulan 54 rumah di Kampung Tebaang, Kampung Baru dan Kampung Pangtray siap dibaik pulih dan dapat digunakan menjelang sambutan Aidilfitri nanti.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad yang mengadakan lawatan ke rumah tersebut berkata, ia merupakan usaha Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan kualiti hidup dan keselesaan rakyat di luar bandar.

“Penerima bersyukur kerana bantuan itu bukan sahaja meringankan beban mereka, tetapi turut memperlihatkan komitmen Kerajaan Sarawak dalam memastikan rakyat menikmati kehidupan selesa dan sejahtera,” katanya.

Dalam lawatan sama, Safiee menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penerima-penerima projek sebagai tanda prihatin dan sokongan kerajaan negeri terhadap kesejahteraan rakyat.

Turut hadir ialah Penghulu Jebli Ngok, Ketua Kampung (KK) Kampung Pangtray, Shamsiah Saibi KK Kampung Tebaang, Liman Shahjuan, Kr. Adykurniawan Abdullah dan Kr. Hamden Taha.