Program Berambeh Sahur dijadikan budaya tarik minat belia

KOTA SAMARAHAN: Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang meluangkan masa menyantuni Program Berambeh Sahur di kawasan Parlimen Kota Samarahan yang bermula pagi tadi.

Program ini dianjurkan Pemuda GEN16 dengan kerjasama Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Muara Tuang, Ranting Kampung Pinang, JKP Masjid Nurul Islam Kampung Pinang, Surau Darul Amanah Kampung Pinang, JKKK Kampung Pinang Hilir, JKKK Kampung Pinang Tradisi, Kelab KRT Kampung Pinang dan Kelab Kampina.

Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang mengetuai program ini yang berlangsung di Masjid Nurul Islam Kampung Pinang bersama pelbagai pihak, menjadikan penganjuran tahun ini lebih bermakna dan meriah.

Katanya, ia mendapat sambutan meriah di kawasan Parlimen ini dan berharap dapat dijadikan budaya berterusan khususnya belia.

“Pagi ini menandakan permulaan program Berambeh Sahur di Kota Samarahan dan sambutan sangat menggalakkan dengan kehadiran penduduk kampung bersemangat untuk mengimarahkan program ini serta masjid,” katanya.

Kesempatan sama digunakan oleh Rubiah untuk menyerahkan bakul makanan kepada 14 orang asnaf di Kampung Pinang.