PERKTHIS perjuangkan masyarakat Islam Tiong Hua

BINTULU: Semangat perpaduan dalam masyarakat majmuk di Sarawak diperkukuh menerusi penganjuran majlis berbuka puasa.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, penganjuran majlis itu menghimpunkan pelbagai lapisan masyarakat dan menjadi platform terbaik memperkukuhkan hubungan pelbagai kaum.

“Majlis seperti ini bukan sekadar berbuka puasa bersama, tetapi simbol perpaduan erat di antara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika majlis Iftar Ramadan anjuran Persatuan Kebajikan Islam Tiong Hua Sarawak (PERKTHIS) Bintulu di sini, malam tadi.

Dalam pada itu, beliau turut memuji PERKTHIS dalam memperjuangkan kebajikan, pendidikan dan pembangunan sosial masyarakat Islam Tiong Hua di bahagian ini.