BINTULU: Seramai 474 anak yatim menerima duit raya sebanyak RM100 setiap seorang dari Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim (PERYATIM) Bintulu.
Mereka dari 44 kampung di Bintulu, termasuk Sebauh dan Tatau dan duit raya itu hasil sumbangan dana dikumpul PERYATIM Bintulu dari pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan dan sektor swasta.
Seramai 250 dari 474 anak yatim membabitkan kawasan Bintulu, Nyalau, Tatau dan Sebauh menerima sumbangan itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee dan isteri, Dayang Loha Awang Sahari di Masjid At- Taqwa RPR Sebiew, di sini, hari ini.
Manakala, baki 224 penerima lagi membabitkan anak- anak yatim sekitar kawasan Jepak akan diadakan di Masjid Darul Makmur Kampung Jepak.
Pengerusi PERYATIM Bintulu, Datuk Haidar Khan Asghar Khan, berkata, peningkatan kesedaran masyarakat, terutama badan korporat telah memudahkan usaha mengumpul dana sumbangan itu berbanding ketika penubuhan pertubuhan itu 1991.
“Dulu kami bermula dengan hanya 30 hingga 40 anak yatim di bandar Bintulu, dan setiap seorang hanya menerima RM50,” katanya.
