SIBU: Lebih 20,000 pengunjung memeriahkan program berbuka puasa beramai-ramai Sungkei Perdana di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa 1, petang tadi.
Program dianjurkan Jawatankuasa Tetap Festival Islam Bahagian Sibu dengan kerjasama Pusat Khidmat Nangka serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.
Majlis dirasmikan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat I, Datuk Dr Annuar Rapaee, manakala Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, turut hadir.
Dr Annuar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, program ini antara paling hebat pernah diadakan.
“Saya menzahirkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dalam memastikan program kita berjalan lancar pada petang ini,” katanya.
Beliau memberitahu, antara yang hadir termasuk mereka dari Bintangor, Semop, Kuala Rajang, dan Tanjung Manis.
Ketika ditanya tentang kelainannya pada tahun ini, Dr Annuar memberitahu, kelainannya adalah kemeriahan dan sambutannya yang benar-benar menakjubkan.
“Saya perhatikan ramai yang mengenakan baju Melayu dan ada juga yang memakai tengkolok. Kami turut menjemput wakil dari Ahli Jawatankuasa (AJK) agama-agama lain untuk bersama-sama berbuka puasa,” katanya.
