MA63: Tuntutan belum selesai akan dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi

KUCHING: Perbincangan berhubung perkara yang masih belum selesai dalam tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan dibawa ke peringkat Majlis Tertinggi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Dato Sri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, terdapat beberapa perkara yang telah dipersetujui sepenuhnya manakala beberapa perkara lagi masih belum selesai dan memerlukan campur tangan pucuk pimpinan tertinggi.

”Salah satu perkara yang belum dipersetujui itu termasuk permintaan satu pertiga perwakilan Sabah dan Sarawak di Parlimen dan satu lagi berkaitan pelantar benua.

”Perkara ini bukan tidak dipersetujui sepenuhnya namun, kerana ada perbezaan tafsiran undang-undang antara peringkat persekutuan dan negeri

”Sehubungan itu, kerumitan isu ini perlu dibincang dan memerlukan keputusam daripada pucuk pimpinan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Penutupan Kem Ihya Ramadan di Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS), di sini, hari ini.

Menjelas lanjut, katanya mesyuarat peringkat tinggi ini akan dihadiri oleh Premier Sarawak dan juga Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor bagi merangka tindakan seterusnya.

Kem Ihya’ Ramadan 2025/1446H, sebuah inisiatif yang berterusan dalam membentuk sahsiah remaja Muslim yang berakhlak mulia.

Bertemakan “Institusi Keluarga, Membina Sahsiah Remaja Muslim”, program ini dianjurkan oleh Pertubuhan Kebajikan Sahabat Amal Negeri Sarawak dengan kerjasama IKMAS.