Geran kerajaan RM10,000 untuk balai bomba Lawas, Limbang

LAWAS: Surirumah perlu diberi pendedahan asas ilmu kebombaan khususnya memadam api di dapur.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ini disebabkan surirumah paling banyak menghabiskan masa di dapur dan penting bagi mereka mengelak kebakaran berpunca dari bahagian dapur.

“Saya rasa suri rumah harus diajar (memadam api) kerana mereka sentiasa sibuk (di dapur),” katanya.

Beliau berkata demikian di program singgah sahur Balai Bomba dan Penyelamat Lawas dan Kempen Keselamatan Kebakaran Zon Tujuh Limbang, di sini, hari ini.

Di majlis itu, Awang Tengah turut mengumumkan geran kerajaan berjumlah RM10, 000 untuk setiap balai bomba daerah Lawas dan Limbang serta masing-masing RM5, 000 kepada pertubuhan isteri-isteri Bomba Limbang dan Lawas.