Kem Ihya Ramadan diterus, bantu bina sahsiah remaja

KUCHING: Kem Ihya Ramadan akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang dengan melibatkan lebih ramai peserta dan dengan modul yang lebih ekselusif.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sabahat Amal Care Negeri Sarawak, Wan Lukmanhakim Wan Sajali berkata, lagipun banyak pihak di negeri ini mohon agar program ini terus diadakan memandangkan ia berkesan dalam membangunkan sahsiah peserta.

Katanya, Kem Ihya Ramadan yang diperkenal 2013 banyak membantu menukar corak sikap peserta kepada sikap yang lebih positif terutama berkaitan dengan Islam.

Menurutnya, dengan ilmu dan kemahiran yang diperoleh daripada program ini ia membantu remaja bersedia menjadi golongan pelapis pada masa depan.

“Insya Allah, saya tidak semestinya kekal muda tetapi akan bertambah usia, dengan itu golongan remaja inilah yang menjadi pelapis dan meneruskan penganjuran program Kem Ihya Ramadan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis penutupan Kem Ihya Ramadan di Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak, Telaga Air dekat sini.

Majlis penutupan itu dilakukan Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof yang juga Ahli Parlimen P.194 Petra Jaya.

Wan Lukmanhakim yang juga Pengarah Program Kem Ihya Ramadan menzahirkan terima kasih kepada Fadillah kerana banyak memberi sokongan dalam menjayakan program ini.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pengurusan IKMAS Telaga Air, Jabatan Agama Islam Sarawak dan Yayasan OBYU kerana turut memberi kerjasama dan menyediakan tajaan dalam menganjurkan program ini.

Turut hadir ialah Pengarah Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) Puan Zaizurina Mansor, Pemanca Daerah Kuching Utara, Roshidi Junai dan Ketua Kaum Kampung Telaga Air, Zaini Tanggek.