Allahyarham Tun Abdullah sentiasa utamakan nilai murni – Abdul Karim

KUCHING: Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi akan sentiasa dikenang sebagai pemimpin negara yang mengutamakan nilai-nilai murni selain gaya kepimpinan sederhana namun berkesan dalam pentadbirannya.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, mantan Perdana Menteri kelima memainkan peranan penting dalam kepimpinan negara ketika menerajui Barisan Nasional (BN).

“Ia termasuk membawa parti itu meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum (PRU) 2004. Kita tahu beliau seorang Perdana Menteri yang sangat baik.

“Ketika itu, BN di bawah kepimpinan beliau berjaya memperoleh lebih dua pertiga majoriti di Parlimen, satu pencapaian luar biasa yang menggambarkan penerimaan rakyat terhadap beliau,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Tambah Abdul Karim, meskipun Allahyarham tidak dikenali sebagai pemimpin yang lantang bersuara, namun pendekatan berhemah dan tenangnya dalam mentadbir negara menjadikan beliau dihormati dan disegani ramai.

Katanya, beliau mungkin seorang pemimpin yang tidak ‘bising’ seperti sesetengah pemimpin lain, tetapi Tun Abdullah telah melaksanakan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri dengan penuh komitmen dan diterima baik oleh rakyat.

Justeru, beliau menzahirkan penghargaan atas jasa Allahyarham dan mendoakan agar beliau dicucuri rahmat atas jasa dan sumbangannya kepada negara.