Tuntutan kerusi parlimen bukan berniat politik – Sharifah Hasidah

KUCHING: Cadangan untuk menambah bilangan kerusi Parlimen di Sarawak dan Sabah bukan sekadar isu politik, tetapi satu kewajiban berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, ia sangat penting supaya kawasan Semenanjung tidak menguasai sepenuhnya, termasuk dalam perkara-perkara pindaan Perlembagaan.

“Ketika Malaysia ditubuhkan, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, sudah menyedari pentingnya memberi 40 kerusi Parlimen kepada wilayah Borneo — 14 untuk Sarawak dan 16 untuk Sabah — bagi memastikan hak mereka dilindungi dalam Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan media sebagai respons terhadap kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang menyatakan bahawa cadangan tersebut masih dalam perbincangan pada 14 April lalu.

Sharifah Hasidah juga menambah, ketika Malaysia dibentuk, sekitar 35% daripada kerusi Parlimen diberikan kepada Sabah, Sarawak, dan Singapura bagi memastikan suara mereka didengari.

Ini juga bermakna sebarang pindaan Perlembagaan memerlukan sokongan dari wilayah-wilayah ini, ujar beliau lagi.

“Namun, ketidakseimbangan mula berlaku apabila bilangan kerusi di Semenanjung bertambah dengan lebih cepat berbanding Sabah dan Sarawak, sekali gus mengurangkan semangat kesaksamaan yang dipersetujui dalam Perjanjian MA63 dan Perkara 161E Perlembagaan Persekutuan.

“Memulihkan jumlah kerusi yang wajar untuk Sabah dan Sarawak bukan hanya isu politik atau teknikal, tetapi soal menunaikan janji asal penubuhan Malaysia, menghormati semangat MA63, dan memastikan hubungan yang adil antara Persekutuan dan negeri-negeri ini,” jelasnya.