KUCHING: Sarawak menerima pengiktirafan Forum Ekonomi Dunia (WEF) atas dasarnya yang berteraskan tenaga hijau boleh diperbaharui sebagai sumber ekonomi baharu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengiktirafan ini meletakkan Sarawak sebagai salah satu pusat ekonomi yang berpotensi besar di Asia Pasifik.
Pengiktirafan ini termasuk Bintulu yang kini berada dalam radar dunia sebagai salah satu daripada empat kluster industri rendah karbon di peringkat global, menjadikan ia satu-satunya di Malaysia yang menerima pengiktirafan sedemikian.
“WEF sendiri memberitahu kepada saya bahawa mereka dapat melihat kawasan yang mempunyai potensi besar dalam pertumbuhan ekonomi di Asia Pasifik ialah Malaysia.
“Di Malaysia pula, Sarawak disebutkan sebagai wilayah yang berpotensi dengan dasar yang diamalkan di sini, berdasarkan kajian yang dibuat oleh mereka (WEF),” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Gedong 2025, yang diadakan di sebuah hotel di sini malam tadi.
Justeru, Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong menegaskan bahawa semua pihak di Sarawak harus kekal bersatu serta memanfaatkan kelebihan yang ada dengan idea-idea baharu yang boleh membangunkan wilayah ini ke tahap yang lebih tinggi.
Hadir sama, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi; Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki; Timbalan-Timbalan Menteri, barisan ADUN dan Ahli Parlimen serta dif-dif kenamaan lain.
