Tellian bakal alami transformasi sosioekonomi pesat

MUKAH: Beberapa perancangan projek pembangunan membabitkan nilai RM100 juta bakal mentransformasikan sosioekonomi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, antara projek utama yang diumumkan termasuk projek benteng hakisan tebingan sungai di Kampung Datuk bernilai RM40 juta yang dijangka bermula pertengahan tahun hadapan.

“Projek ini dirancang dengan penuh teliti agar pembinaannya tidak menjejaskan kehidupan penduduk kampung dan tidak memerlukan pemindahan komuniti setempat.

“Kita mahu Kampung Datuk terus kekal wujud dan maju di tengah-tengah pembangunan pesat Mukah,” katanya di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri sempena Program Jiwa@Komuniti MADANI di Dewan Kampung Datuk, Mukah semalam.

Dedahnya, di bawah perancangan Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA), sebanyak lima projek utama dikenal pasti dan dirancang untuk dilaksanakan dengan nilai keseluruhan melebihi RM100 juta.

Antaranya, Projek Pembinaan Tebingan Sungai Mukah dan konsultan telah dilantik dan kerja-kerja awal sedang dijalankan; Projek Pasar Bersepadu Mukah (Integrated Market) iaitu menyatukan pasar basah, medan selera dan ruang parkir bertingkat di tapak pasar lama Mukah dan Cadangan Projek Medan Selera Kaul di mana diperuntukkan sebanyak RM25 juta merangkumi kemudahan gerai dan parkir.

Selain itu, Projek Anjung Ria Senaga yang akan dibangun di Pantai Senaga, Petanak melibatkan pembinaan gerai-gerai untuk pengunjung dan pelancong dan Projek Benteng Hakisan Kuala Petanak dengan peruntukan RM20 juta bagi melindungi kawasan pesisir daripada hakisan berterusan.

“Semua projek ini bukan sahaja akan melonjakkan pembangunan fizikal, malah meningkatkan taraf hidup penduduk melalui peluang ekonomi dan pekerjaan yang lebih luas,” tambah Royston.

Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama erat antara pihak kerajaan, agensi pelaksana dan kepimpinan akar umbi seperti Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dalam memastikan kelancaran pelaksanaan projek.