DARO: Pelaksanaan projek membina jalan raya sepanjang 17 kilometer (km) bakal menghubungkan Kampung Penasu, tujuh rumah panjang sekitar Nanga Ngemah serta Nanga Serban dan SK Batang Lassa dengan jalan utama Tanjung Manis-Sibu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM250 juta untuk projek ini, dan konsultan juga telah dilantik.
“Jalan ini akan memberi impak kepada penduduk yang sebelum ini hanya bergantung kepada jalan sungai dan jalan ladang sebagai laluan utama keluar masuk ke kawasan ini,” katanya semasa berucap pada Majlis Berambeh Raya 2025 di Dewan Komuniti Kampung Penasu, petang semalam.
Katanya, pelaksanaan projek ini akan melengkapkan keseluruhan jajaran jalan perhubungan di kawasan N.43 Daro.
Ia sekaligus membuka lebih banyak akses antara kampung, rumah panjang dan kawasan pekan.
“Apabila jalan ini siap kelak, ia akan menjadi penghubung penting yang melengkapkan jaringan jalan darat di seluruh kawasan Daro, memudahkan pergerakan, mempercepatkan pembangunan, dan membuka peluang ekonomi baru kepada penduduk,” katanya lagi.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Daro, Zul Usup, Guru Besar SK Penasu, Penghulu Kampung Penasu, Ketua Kaum Kampung Penasu serta Tuai-tuai rumah kawasan Nanga Semah dan Sungai Ilas.
