LAWAS: Pembangunan taman perindustrian dan suasana kondusif bagi pelaburan amat diperlukan di daerah ini yang terletak paling utara di Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia penting bagi menarik pelaburan besar ke daerah berkenaan serta memanfaatkan kedudukannya yang strategik.
“Walaupun sudah ada ( taman perindustrian) tetapi kita perlu sesuatu lebih besar untuk menarik pelaburan asing dan domestik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada perasmian majlis angkat sumpah Ahli Majlis Daerah Lawas di sini, hari ini.
Awang Tengah berkata, perkara ini harus dirancang kerana pihaknya mahu ekonomi di daerah Lawas maju untuk meningkatkan lagi peluang masyarakat dalam aktiviti ekonomi itu.
Hadir sama Ahli Parlimen Lawas Dato Henry Sum Agong, Setiausaha-setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa, Sam Laya, Residen Bahagian Limbang Yunus Tambi, Pengarah Agensi Pembangunan Wilayah Utara(NRDA) Datu Ubaidillah Latip dan Pegawai Daerah Lawas selaku Pengerusi Majlis Daerah Lawas Ladin Atok.