DALAT: Jabatan Kerja Raya (JKR) bersama pihak yang terlibat dalam pembinaan Jalan Kampung Medong, Lebrasau/ Kampung Klid di sini akan mengadakan mesyuarat hujung bulan ini bagi membincangkan penyiapan jalan sepanjang 11.67 kilometer (km).
Mereka terdiri daripada kontraktor, perunding dan pemegang lesen projek.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, mesyuarat itu amat penting untuk menyelesaikan isu-isu yang kini menjejaskan penyiapannya.
Beliau berkata, projek jalan raya bernilai RM74 juta itu kini ketinggalan 70 hari daripada jadual iaitu 48.56 peratus berbanding jadual asal 55.62 peratus dan ini membimbangkan.
Selain jalan raya, ia termasuk tiga jambatan merentasi Sungai Lebrasau, Sungai Peluan dan Sungai Klid. Projek ini dijadual siap pada akhir Januari tahun depan.
“Itulah kita sentiasa turun padang menyemak kemajuan pelaksanaan projek.
“Kami mahu memastikan semua projek yang diluluskan untuk pelaksanaan dilaksanakan sempurna dan disiapkan mengikut jadual.
“Melalui lawatan ini juga kita dapat mengetahui jika ada kontraktor yang menghadapinya. Kemudian bersama-sama JKR kita akan menyelesaikannya,” katanya.
Uggah yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan (MIPD) memberitahu media selepas melawat projek itu di sini hari ini.
Beliau berkata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg juga baru-baru ini menyuarakan agar JKR dan agensi lain memainkan peranan masing-masing dalam menyiapkan semua projek pembangunan.
Ahli Parlimen Mukah Datuk Hanifah Hajar Taib yang turut hadir mengucapkan terima kasih kepada Uggah kerana meluangkan masa memantau perkembangan pelaksanaan projek di kawasannya.
