Idris Buang dilantik semula Timbalan Speaker DUN Sarawak

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Muara Tuang, Dato Idris Buang dilantik semula sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dalam istiadat yang berlangsung di Astana Negeri Sarawak, di sini hari ini.

Majlis dimulakan dengan penyerahan surat pelantikan kepada Idris sebelum beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Pelantikan semula ini menyaksikan beliau kembali memegang jawatan yang pernah disandangnya selama tiga tahun sebelum ini.

Istiadat tersebut turut dihadiri Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar; Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah; timbalan-timbalan menteri dan tetamu kenamaan lain.