Peruntukan RM105,000 jayakan ibadah korban anjuran LAKMD

DARO: Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Daro (LAKMD) memperuntukkan sebanyak RM105,000 bagi menjayakan ibadah korban tahun ini.

Ia melibatkan 14 masjid dan surau serta Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daro antara penerima sumbangan.

Sumbangan tersebut akan digunakan bagi pelaksanaan ibadah korban sempena Aidiladha nanti.

Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Safiee Ahmad di Masjid Al-Muhsiniin Daro di sini.

Safiee yang juga Pengerusi LAKMD berkata, sumbangan ini bukan sahaja bertujuan menunaikan ibadah korban, tetapi sebagai usaha berterusan LAKMD untuk memperkukuhkan hubungan masyarakat dan memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan umat Islam di sini.

“Melalui ibadah korban ini, kita bukan sahaja menunaikan tuntutan agama, malah dapat berkongsi rezeki dengan golongan yang memerlukan. Ini adalah tanggungjawab sosial yang akan terus diperkasakan oleh LAKMD setiap tahun,” ujarnya.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Daro, Zul Usop, Penghulu Jebli Ngok, Penghulu Bahiri Selakong dan Ketua Kaum serta wakil Jawatankuasa Masjid dan Surau.