Cadangan bina Dataran Rujang Berani

KUCHING: Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi mencadangkan pembinaan sebuah dataran ikonik di Kapit sebagai penghormatan sumbangan besar masyarakat Dayak dalam aspek keselamatan dan pembangunan negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kapit berkata, lokasi cadangan dataran yang dinamakan Dataran Rujang Berani itu terletak berhampiran Kubu Silvia. Ia merupakan sebuah tapak bersejarah yang berpotensi sebagai simbol landskap ikonik sempena memperingati 100 tahun pendamaian Kapit serta perjuangan masyarakat Dayak.

“Dataran Rujang Berani itu adalah cadangan di mana ada tempat yang di Kapit, berdekatan dengan perkarangan Kubu Silvia, dan juga dah diumumkan sebagai satu tanda ikonik lanskap,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan buku bertajuk “Commemorating A Century Of Kapit Peacekeeping (1924–2024)” di sini hari ini.

Menurut beliau, cadangan pembinaan dataran tersebut bukan sahaja bertujuan memperingati peristiwa perdamaian bersejarah, tetapi juga sebagai pengiktirafan kepada komuniti Dayak yang telah lama menyumbang dalam mempertahankan negara, termasuk sebelum tertubuhnya Malaysia.

“Bahagian Kapit ini adalah bahagian pedalaman dan bahagian di mana kaum Dayak itu, tak kira mana kaum, semua Dayak itu pernah menyumbang kepada pembangunan negara yang kita wujudkan sebagai Malaysia.

“Sebelum Malaysia pun dah berjuang sebagai tentera keselamatan di Malaya masa Malaya Emergency sebagai Sarawak Rangers dan juga sebagai Malaysian Rangers,” dedahnya.

Tambah beliau, Dataran Rujang Berani juga dilihat berpotensi menjadi pusat rujukan sejarah serta lambang semangat perpaduan generasi masa hadapan.

Mengulas mengenai buku “Commemorating A Century of Kapit Peacekeeping (1924–2024)”, beliau berkata buku tersebut merupakan dokumentasi penting yang menghimpunkan maklumat sejarah, kertas kerja, ucapan, serta koleksi gambar berkaitan peristiwa pendamaian antara pelbagai kaum di pedalaman Kapit 100 tahun lalu.

Katanya, buku itu bukan sahaja mengabadikan detik bersejarah yang berlaku antara komuniti di Sarawak dan kawasan sempadan Indonesia, tetapi turut berfungsi sebagai bahan rujukan berharga bagi generasi akan datang untuk memahami asas keharmonian yang terbina hari ini.