Projek bina pangsapuri atasi kepadatan penduduk

KUCHING: Pelaksanaan kerja-kerja pembesaran jalan di kawasan Kampung Tabuan Melayu hanya dapat dimulakan selepas penduduk di kawasan padat itu dipindah ke penempatan baharu yang lebih tersusun.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah pemindahan itu penting memandangkan kawasan tersebut kini menempatkan lebih 12,000 penduduk dari tujuh kampung, menyebabkan ruang sedia ada tidak lagi mencukupi.

Menurutnya, inisiatif pembinaan skim perumahan itu dirancang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut, Datuk Dr Hazland Abang Hipni bagi membolehkan projek infrastruktur dilaksanakan secara berfasa tanpa menggugat kehidupan penduduk asal.

“Kawasan tersebut bukan sahaja padat, malah ada sebahagian tanah yang dimiliki pihak swasta. Justeru, projek pembinaan pangsapuri yang dicadangkan adalah jalan terbaik bagi memberi lebih banyak unit rumah kepada penduduk,” katanya.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata demikian selepas merasmikan Majlis Ibadah Korban Zon Tabuan anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) di Masjid Darul Sa’adah, Kampung Tabuan Hilir, hari ini.

Beliau berkata, pendekatan pembinaan perumahan bertingkat dilihat sebagai langkah jangka panjang bagi menampung kepadatan penduduk yang semakin meningkat.