KUCHING: Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof menegaskan bahawa tindakan Petronas memberhentikan lebih 5,000 pekerja tiada kaitan dengan peranan Sarawak sebagai gas agregator.
Langkah itu katanya, lebih dipengaruhi tekanan ekonomi global dan kejatuhan harga minyak mentah yang berada di bawah paras bajet, menyebabkan Petronas perlu menyusun semula operasi bagi menjamin kelangsungan syarikat.
“Saya hanya dimaklumkan melalui laporan media.
“Difahamkan, ini sebahagian daripada pelan penstrukturan semula bagi memastikan Petronas terus beroperasi dalam keadaan pasaran semasa,” katanya selepas program ibadah korban di Kampung Sungai Laruh, hari ini.
Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), berkata beliau akan mendapatkan penjelasan terus daripada pihak pengurusan Petronas dalam masa terdekat bagi meneliti keputusan itu dan mencari pendekatan terbaik bagi menangani isu pemberhentian tersebut.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz, memaklumkan syarikat itu bakal mengurangkan kira-kira 10 peratus tenaga kerja sebagai langkah mengurangkan kos susulan tekanan harga minyak global.
