Bangunan lama SMK Limbang akan dinaik taraf

LIMBANG: Bangunan lama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbang bakal dinaik taraf Pusat Tingkatan Enam membabitkan peruntukan RM4.5 juta.

Ia sekali gus menawarkan kemudahan moden dan selesa kepada pelajar prauniversiti di kawasan utara Sarawak.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, projek itu dijangka siap dalam tempoh lapan bulan dan akan menjadi pusat kedua seumpamanya di negeri ini.

“Dana telah disalurkan melalui RECODA, manakala pelaksanaan diselia Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Struktur bangunan masih kukuh, namun perlu dinaik taraf. Saya mahu projek ini bermula segera,” katanya ketika melawat tapak projek berkenaan, semalam.

Awang Tengah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Sari menekankan bahawa proses kelulusan pelan tidak perlu menunggu di peringkat negeri dan boleh diputuskan di peringkat bahagian agar tender dapat dibuka segera.

Kerja naik taraf melibatkan tiga blok akademik, satu blok pentadbiran dan sebuah blok asrama, termasuk penggantian bumbung, pendawaian semula, penambahan tandas serta penyediaan perabot.

Terdahulu, Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) telah membina blok asrama lelaki dan perempuan serta kantin di lokasi sama.

Lawatan itu turut disertai beberapa pegawai kanan kerajaan termasuk ADUN Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.