Sambutan Aidiladha cerminkan semangat kebersamaan masyarakat Islam

KOTA SAMARAHAN: Sambutan Hari Raya Aidiladha di kawasan Samarahan termasuk Sebuyau, Simunjan dan sekitarnya, mencerminkan semangat muafakat dan kebersamaan masyarakat Islam dalam meraikan ibadah korban tahun ini.

Di Sebuyau, penduduk pelbagai kampung berkumpul di perkarangan Masjid Al-Muflihin bagi menjayakan program penyembelihan korban.

Seramai 30 orang menghadiri gotong-royong yang menyaksikan 12 ekor lembu disumbangkan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Dato Sri Julaihi Narawi untuk diagih kepada penduduk dari 11 kampung sekitar.

Bagi Julaihi, program sebegini bukan sahaja mengangkat nilai keagamaan, malah memperkukuh semangat perpaduan antara masyarakat desa.

“Nilai pengorbanan yang sebenar terletak pada kesanggupan kita untuk berkongsi dan bersatu,” katanya dalam ucapan ringkas kepada penduduk, pada Majlis Ibadah Korban di sini hari ini.

Keseluruhan kawasan DUN Sebuyau menerima sebanyak 26 ekor lembu, menandakan keprihatinan berterusan pemimpin terhadap komuniti luar bandar.

Di Simunjan pula, ibadah korban diraikan menerusi Program Jelajah Ibadah Korban selama tiga hari yang merangkumi penyertaan pelbagai pihak. Sebanyak 35 ekor lembu disumbangkan dan diagihkan, termasuk 19 ekor oleh ADUN Awla Dris, 11 ekor oleh Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee, dan lima ekor lagi hasil inisiatif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Al-Mutaqqin, Samarahan.

Sementara itu di Kota Samarahan, 18 ekor lembu telah diagihkan menerusi sumbangan Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Agihan dibuat ke beberapa kampung termasuk Kampung Niup, Kampung Empila Hilir, Kampung Tanjung Parang serta kawasan sekitar Masjid Ar-Riyadh di Taman Samarindah.

Beberapa kawasan lain seperti Serian, Asajaya dan Kem Penrissen turut menerima manfaat daripada program korban, termasuk kampung seperti Reban, Lubok Ria, Sri Tajo dan Tambirat Tengah.

Bagi Rubiah, program tahunan ini menjadi wadah menghubungkan pemimpin dengan rakyat sambil membantu golongan kurang berkemampuan menyambut Aidiladha dengan penuh kesyukuran.