KUCHING: Sebanyak dua projek bekalan air yang dilaksana Kerajaan Sarawak secara pinjaman peruntukan dari Kerajaan Pusat dijangka siap tahun ini.
Projek terbabit ialah Program Mengurangkan Kadar Kehilangan Air Tidak Terhasil Negeri Sarawak – Lembaga Air Sibu (fasa dua) dan Membaikpulih Sistem Agihan di Negeri Sarawak – Lembaga Air Sibu (fasa dua).
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, dua projek terbabit adalah sebahagian dari keseluruhannya sebanyak tujuh projek itu yang dilaksanakan kerajaan-kerajaan negeri seluruh negara yang dijangka siap tahun ini.
“Untuk tahun ini sahaja kita memperuntukan lebih RM760 juta untuk projek loji rawatan air di seluruh negara, projek ini secara pinjaman (dari Kerajaan Persekutuan),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Program Ibadah Qurban 1446H/2025M anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) bersama Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Tupong Jaya, di sini, hari ini.
Fadillah berkata, ketika ini sebanyak 28 projek itu sedang dilaksanakan mengikut negeri dengan Sabah mempunyai 12 projek, diikuti Sarawak (lima), Pahang dan Terengganu (tiga),
Kedah dan Perlis masing-masing (dua) dan Kelantan (satu).
Sementara itu, beliau berkata mengikut purata kebangsaan Air Bukan Hasil atau air yang hilang dari loji rawatan air ketika ini adalah sebanyak 40 peratus.
“Kita proses air, 40 peratus hilang macam itu sahaja, bilion dari segi jumlah nilai duit yang hilang,” katanya.
Beliau berkata, kehilangan air terbabit disebabkan sistem sambungan paip yang tidak cekap dan juga akibat masalah kecurian air.
“Jadi apa yang saya hendak fokus sekarang ini ialah mencari kaedah supaya kita dapat gantikan (sistem saluran) paip keseluruhan di negara kita,” katanya.
