SIMANGGANG: Sebanyak 21 ekor lembu ditumbangkan pada majlis ibadah korban Aidiladha di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, lembu bernilai RM178,500 disumbang kepada 10 kampung dan sebuah agensi kerajaan di DUN itu.
“Kita berharap lebih ramai individu berkemampuan tampil untuk menjayakan ibadah korban di kawasan perkampungan sekitar DUN Lingga pada tahun-tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Program Ibadah Korban di Surau Wahdah Al-Ummah Kampung Melayu Tanah Baru Sembau, di sini, semalam.
Dayang Noorazah berkata, ibadah korban dapat menyatukan penduduk menerusi kerjasama yang dijalankan semasa melakukan penyembelihan dan melapah daging korban.
“Kerjasama masyarakat Islam dalam membantu memudahkan ibadah korban secara tidak langsung mengukuhkan silaturahim sesama kita,” katanya.
