LINGGA: Daerah Lingga kini mendapat bekalan air sebanyak 0.65 juta Liter Air Sehari (JLT) dari Loji Rawatan Air Lingga.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), Dato Sri Julaihi Narawi berkata kapasiti ini akan bertambah kepada 1.65 JLT apabila loji rawatan air baharu menggunakan teknologi ‘sistem akut’ bersebelahan yang kini sedang dibina dan siap September tahun ini.
“Untuk jangka panjang dan bekalan air yang lebih terjamin, sistem grid paip sepanjang 74 kilometer (km) dari Loji Rawatan Air Bayai di Sri Aman menuju Pekan Lingga telah dilulus untuk dilaksana bila-bila masa.
“Loji Bayai kini mempunyai kapasiti 53 JLT tapi kini diguna pada kapasiti 46 JLT, bermakna ada ‘reserve margin’ 7 JLT. Sistem grid paip sejauh 74 km ini adalah sebahagian dari sistem grid di Bahagian Sri Aman yang bermula dari loji rawatan air baharu (75 JLT) di Engkilili yang kerja pembinaannya sudah bermula sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Ibadah Qurban Peringkat DUN N.28 Lingga di Masjid Al-Hana Lingga, hari ini.
Pada majlis tersebut, Julaihi telah meluluskan geran khas berjumlah RM30,000 untuk Lembaga Pengurusan Masjid Lingga.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Norazah Awang Sohor, Pegawai Khas dari Pejabat Premier Sarawak Datuk Bujang Helmi Hazmi.
