KUCHING: Isteri kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang, telah kembali ke rahmatullah awal pagi 23 Jun 2025 pada usia 76 tahun.
Menurut kenyataan media Pejabat Premier Sarawak di sini, hari ini, Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada jam 3.34 pagi, bersamaan 26 Zulhijjah 1446H, di Pusat Perubatan Pakar Normah, Kuching.
Majlis penghormatan terakhir akan diadakan di Masjid Jamek, Petra Jaya, dari jam 10 pagi hingga 12 tengah hari ini, sebelum jenazah disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang, kata kenyataan itu.
“Marilah kita sama sama mendoakan agar roh allahyarhamah dicucuri rahmat dan diletakkan bersama orang-orang yang beriman. Al Fatihah,” menurut kenyataan itu.
Untuk rekod Allahyarhamah Juma’ani merupakan Presiden Persatuan Isteri Menteri dan Timbalan Menteri Sarawak (SABATI), aktif terlibat dalam pelbagai kegiatan kebajikan dan sosial sejak sekian lama.
Beliau ialah anak kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak kedua, Allahyarham Tun Datuk Patinggi Tuanku Bujang Tuanku Othman.
Allahyarhamah mendirikan rumah tangga bersama Abang Johari pada 26 Februari 1977. Pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata, Abang Abdillah Izzarim dan Dayang Norjihan.
