DEBAK: Daerah Kecil Debak bakal menikmati kemudahan pentadbiran moden melalui pembinaan kompleks pejabatnya dalam usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada rakyat.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak,
Datuk Dr Mohammad Razi Sitam berkata, kompleks berkenaan berharga RM8.8 juta membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak menyediakan infrastruktur pentadbiran berkualiti bagi memenuhi keperluan semasa dan masa hadapan.
“Projek tersebut merangkumi pembinaan kuarters kerajaan serta mengutamakan aspek kualiti pembinaan bagi memastikan kemudahan yang dibangunkan memenuhi keperluan pentadbiran,” katanya pada Majlis Pelancaran Pelaksanaan Projek Bina Baharu Pejabat Daerah Kecil Debak, semalam.
Dr Mohammad Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas, berkata usaha merealisasikan projek tersebut bermula sejak 2019, namun pelaksanaannya tertangguh akibat pandemik Covid-19.
Ini menyebakan peningkatan kos siling daripada RM5 juta kepada RM8.8 juta bagi menampung skop pembinaan semasa.
Sementara itu, Ahli Parlimen Betong Dato Dr Richard Rapu berkata, pembinaan kompleks baharu itu merupakan pencapaian penting memandangkan bangunan pejabat sedia ada yang dibina sekitar tahun 1970-an tidak lagi mampu menampung keperluan operasi pentadbiran ketika ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak atas kelulusan projek berkenaan dan berharap pembinaannya yang dijadual mengambil masa 20 bulan dapat disiapkan mengikut jadual.
Projek yang dijangka siap pada Ogos 2027 itu diyakini akan memperkukuhkan fungsi pentadbiran Daerah Kecil Debak serta meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030).
