SEBUYAU: Dearah Lingga merancang mengadakan program Maludam Explorers pada Ogos ini untuk memperkenalkan lagi daerah terbabit dan kawasan Sebuyau dan Triso sebagai destinasi pelancongan negeri.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor berkata, program Meludam Explorers itu diyakini mampu menarik lebih ramai pelancong tempatan dan luar negara berkunjung ke Taman Negara Meludam.
“Pelancong kini lebih mudah berkunjung ke Taman Negara Meludam dengan siapnya Jambatan Batang Lupar 1,” katanya ketika diminta mengulas pembukaan Jambatan Batang Lupar 1 yang dirasmikan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, baru-baru ini.
Jambatan ikonik berharga RM848.75 juta itu adalah yang terpanjang merintasi sungai di negara ini.
Dayang Noorazah berkata, tahun 2021 memberi impak kepada penduduk di kawasan Sebuyau dan daerah Pusa secara keselurhannya yang sebelum ini menggunakan feri selama satu jam.
“Sekarang masa perjalanannya lebih singkat, 10 minit pun dah sampai ke Meludam dan pergi ke Betong pun lebih dekat,” katanya dan menambah, dalam masa sama, sumber ekonomi penduduk di daerah Pusa turut meningkat.
“Kini ramai orang datang ke Meludam, Triso dan Pusa, nak cari makanan lokal yang sebelum itu hanya ada dijual di bandar,” tegas beliau.
Berdasarkan rekod Sarawak Forestry Corporation (SFC) katanya, kebanyakan pengujnjung yang melawat Taman Negara Meludam adalah dari negara Asia seperti Jepun, Korea dan China.
